KUALA LUMPUR — Malaysia dan Brunei Darussalam menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan ketegangan dan konflik di Asia Barat, khususnya membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.
Pendirian itu dinyatakan dalam kenyataan bersama selepas Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei Ke-27 (ALC-27) yang berlangsung di Bandar Seri Begawan, Sabtu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkata konflik berkenaan telah mengakibatkan korban awam, kerosakan infrastruktur serta keadaan kemanusiaan yang semakin buruk.
“Mereka menggesa semua pihak supaya menahan diri, mengelakkan ketegangan daripada terus meningkat serta menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara,” menurut kenyataan bersama itu.
Kedua-dua pemimpin turut menyeru semua pihak kembali kepada dialog dan diplomasi bagi menamatkan permusuhan serta mencari penyelesaian terhadap konflik berkenaan.
Mereka turut mengambil maklum keadaan itu telah mengganggu lalu lintas maritim melalui Selat Hormuz sehingga menjejaskan rantaian bekalan global, khususnya tenaga dan barangan keperluan.
Malaysia dan Brunei sehubungan itu menekankan kepentingan mengekalkan keselamatan maritim serta kebebasan pelayaran dan penerbangan selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).
Dalam isu Palestin, kedua-dua pemimpin menegaskan bahawa isu berkenaan kekal menjadi punca utama konflik dan ketidakstabilan lebih luas di Asia Barat.
“Isu Palestin kekal menjadi punca utama konflik dan ketidakstabilan yang lebih luas di rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Malaysia dan Brunei turut mengecam tindakan pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik berterusan oleh Israel sebagai kuasa pendudukan, selain keganasan tanpa diskriminasi serta sekatan terhadap akses dan penyaluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Kedua-dua pemimpin menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas untuk menamatkan kitaran kekebalan daripada tindakan undang-undang, memastikan undang-undang antarabangsa dihormati dan mencapai gencatan senjata kekal.
Mereka turut mengalu-alukan peningkatan momentum global ke arah pengiktirafan negara Palestin dan mengulangi gesaan supaya Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia dan Brunei turut mengecam keras tindakan menyasarkan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), yang turut dianggotai anggota Batalion Malaysia dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Kedua-dua pemimpin menegaskan keselamatan anggota PBB mesti dijamin sepenuhnya serta menggesa langkah segera diambil bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan ke atas anggota dan premis PBB dikenakan tindakan.













