SHAH ALAM — Universiti Teknologi MARA (UiTM) menegaskan komitmennya untuk terus memperluas akses pendidikan tinggi kepada golongan yang memerlukan peluang dan sokongan, khususnya Bumiputera daripada kelompok B40, masyarakat Orang Asli serta anak negeri Sabah dan Sarawak.
UiTM dalam kenyataan hari ini berkata, pendekatan itu selaras dengan mandat universiti dalam memperkasa pembangunan Bumiputera melalui pendidikan.
Menurut kenyataan itu, istilah ‘underserved’ yang digunakan Naib Canselor UiTM dalam kenyataan media sebelum ini merujuk kepada golongan atau komuniti yang kurang mendapat akses dan peluang sewajarnya dalam pendidikan.
“UiTM akan terus berusaha memastikan pendidikan berkualiti menjadi pemangkin kepada pembangunan potensi, peningkatan taraf hidup dan mobiliti sosial masyarakat yang disasarkan,” menurut kenyataan itu.
Universiti itu turut menegaskan bahawa pelaksanaan tanggungjawab berkenaan berlandaskan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173), yang menjadi asas kepada amanah dan mandat penubuhannya.
“UiTM kekal teguh melaksanakan amanah dan mandat penubuhannya dalam menyediakan akses pendidikan serta memperkasa Bumiputera melalui ilmu, pembangunan bakat dan profesionalisme, seiring dengan keperluan semasa serta aspirasi negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, UiTM memaklumkan universiti itu tidak lagi membuat pengambilan pelajar antarabangsa bagi program pascasiswazah di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran sejak dua tahun lalu.
Menurut UiTM, langkah berkenaan mencerminkan keutamaan universiti dalam melaksanakan mandatnya berlandaskan Akta 173, selain memastikan peluang pendidikan terus memberi manfaat kepada kelompok sasarannya.
UiTM turut merakamkan penghargaan kepada rakan media atas hubungan baik dan kerjasama profesional dalam menyampaikan perkembangan, penjelasan dan aspirasi universiti kepada masyarakat.










