KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Brunei Darussalam atas sambutan mesra dan layanan baik yang diberikan kepada beliau serta delegasi Malaysia sepanjang lawatan kerja dua hari ke negara itu.
Anwar berada di Brunei bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei ke-27 (ALC-27), yang antara lain membincangkan usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata delegasi Malaysia turut diraikan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam Majlis Santapan Rasmi.
“Mendoakan negara Brunei Darussalam kekal menikmati kemakmuran, kesejahteraan dan rakyatnya hidup aman sejahtera di bawah naungan Paduka Seri Baginda Tuanku,” katanya.
Dalam lawatan itu, Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung kerjasama pengurusan bencana antara Malaysia dan Brunei.
Perdana Menteri turut dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K.) oleh Sultan Hassanal Bolkiah.
Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.













