KUALA LUMPUR — Portfolio Hal Ehwal Luar Perikatan Nasional (PN) menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Taiwan yang didakwa boleh menjejaskan kepentingan diplomatik, ekonomi dan strategik Malaysia.
Ketua Hal Ehwal Luar Ahli-Ahli Parlimen PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, walaupun Malaysia kekal berpegang kepada Dasar Satu China, pendirian itu tidak bermaksud kerajaan perlu mengeluarkan kenyataan yang melangkaui dasar diplomatik sedia ada.
Menurut Ahli Parlimen Machang itu, Malaysia juga tidak perlu menyokong, mewajarkan atau merestui penggunaan kekerasan ketenteraan dalam menyelesaikan pertikaian antara China dan Taiwan.
“Dasar Satu China tidak memerlukan Malaysia untuk menyokong, mewajarkan atau merestui penggunaan kekerasan ketenteraan dalam menyelesaikan isu China-Taiwan.
“Malaysia bebas mengekalkan hubungan diplomatik dan perdagangan berdasarkan kepentingan negara, namun ini tidak memerlukan Malaysia untuk memihak mengenai bagaimana pertikaian itu harus diselesaikan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, terdapat perbezaan jelas antara menghormati Dasar Satu China dengan menyokong penggunaan kekerasan dan Malaysia boleh terus berpegang kepada dasar berkenaan tanpa menyokong pendekatan ketenteraan.
Menurutnya, kenyataan seorang Perdana Menteri membawa pengaruh besar terhadap dasar luar negara dan secara semula jadi akan ditafsirkan masyarakat antarabangsa sebagai mewakili pendirian kerajaan Malaysia.
Sehubungan itu, PN menuntut kerajaan menjelaskan sama ada kenyataan Anwar itu mencerminkan pendirian rasmi kerajaan dan Kabinet atau sekadar pandangan peribadi beliau.
“Malaysia ialah sebuah negara yang diasaskan atas nilai demokrasi, kedaulatan undang-undang dan kehidupan bersama secara aman.
“Dasar luar kita seharusnya menekankan dialog, diplomasi dan penyelesaian aman terhadap pertikaian antarabangsa, bukannya idea yang melibatkan penggunaan kekerasan,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, Malaysia perlu terus mengekalkan autonomi strategiknya dan mengelak daripada dilihat berpihak kepada mana-mana kuasa besar.
Katanya, hubungan dengan China kekal penting, namun Malaysia pada masa sama perlu memelihara hubungan diplomatik dan ekonomi yang konstruktif dengan pihak lain termasuk Taiwan.
Beliau memberi amaran sebarang peningkatan ketegangan atau konflik di Selat Taiwan akan membawa kesan besar kepada ASEAN, keselamatan serantau, kestabilan maritim, perdagangan serta rantaian bekalan global.
PN turut membangkitkan kesan ekonomi yang boleh timbul sekiranya hubungan Malaysia-Taiwan terjejas, termasuk terhadap rantaian bekalan industri semikonduktor negara.
Menurut kenyataan itu, sektor elektrik dan elektronik Malaysia khususnya di Pulau Pinang dan Kulim banyak bergantung kepada komponen huluan dari Taiwan, selain ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi bergantung kepada kestabilan hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua pihak.
Hubungan berkenaan turut melibatkan sektor pendidikan dengan ribuan pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di Taiwan setiap tahun, manakala Taiwan juga merupakan pembeli jangka panjang gas asli cecair (LNG) dari Bintulu, Sarawak.
“Dasar luar bukan platform untuk kenyataan sambil lewa. Kata-kata seorang Perdana Menteri membawa kesan bukan sahaja dalam kalangan diplomatik, tetapi juga terhadap pelaburan, pekerjaan, peluang pendidikan, perdagangan, kestabilan serantau dan reputasi Malaysia di luar negara,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, kerajaan tidak seharusnya meletakkan hubungan diplomatik, kepentingan perdagangan serta kedudukan antarabangsa Malaysia dalam risiko melalui kenyataan yang melangkaui pendirian dasar luar negara yang telah ditetapkan.
“Kami menuntut Perdana Menteri supaya lebih berhati-hati, berdisiplin dan bertanggungjawab apabila menyentuh perkara sensitif berkaitan dasar luar.
“Kepimpinan yang matang memerlukan ketepatan dan pertimbangan yang baik, bukannya kesilapan diplomatik yang sebenarnya boleh dielakkan,” katanya.
Kenyataan PN itu dibuat susulan wawancara Anwar bersama wartawan Al Jazeera, Sreenivasan Jain yang disiarkan pada 17 Ogos lalu, apabila Perdana Menteri ditanya mengenai Taiwan dan kemungkinan penggunaan kekerasan oleh China dalam usaha penyatuan semula.
Kenyataan Anwar kemudiannya mendapat reaksi daripada Kementerian Luar Taiwan yang mempertikaikan pendirian berkenaan, sekali gus mencetuskan perbahasan mengenai implikasinya terhadap hubungan ekonomi dan perdagangan Malaysia-Taiwan.
Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China sejak 1974 dan kekal berpegang kepada Dasar Satu China, namun pada masa sama mempunyai hubungan perdagangan dan ekonomi yang signifikan dengan Taiwan.











