OTTAWA — Perdana Menteri Kanada, Mark Carney berkata pada Sabtu bahawa mulai 8 September, Kanada akan mengenakan tarif ke atas import dari Amerika Syarikat (AS) melibatkan pelbagai sektor sebagai tindak balas terhadap tarif baharu 50 peratus Presiden Donald Trump yang berkuat kuasa mulai tengah malam.
Selepas beberapa hari rundingan intensif, kedua-dua negara gagal mencapai perjanjian perdagangan lewat Jumaat, sekali gus memburukkan lagi hubungan yang sudah rapuh antara dua rakan dagang dan sekutu lama itu serta merumitkan masa depan perjanjian perdagangan bebas benua yang berjaya, iaitu Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA).
Tarif baharu Trump melibatkan pelbagai sektor termasuk wain, perabot, produk tenusu, simen, pakaian, joran dan peralatan hoki, merangkumi kira-kira AS$20 bilion eksport Kanada ke AS.
Tarif itu tidak memberikan pengecualian kepada produk Kanada di bawah USMCA, yang telah melindungi sebahagian besar eksport Kanada ke AS sepanjang 18 bulan lalu.
“Kanada akan menyamai tarif baharu Washington dolar demi dolar bagi melindungi pekerja, petani, keluarga dan perniagaan Kanada,” kata Carney pada sidang media.
Carney berkata, tarif balas itu akan melibatkan sektor seperti keluli, produk tenusu, perkakas rumah, peralatan pertanian, pulpa dan kertas serta elektronik.
Ia turut merangkumi produk yang kini tertakluk kepada tarif Seksyen 232 dan 338 yang disifatkan sebagai tidak berasas, katanya dalam ucapan tegas dari bangunan Parlimen di Ottawa.
“Kami tidak boleh menerima apa yang mereka tawarkan dan kami tidak akan memberikan apa yang mereka tuntut,” kata Carney.













