KUALA LUMPUR — Usaha menangani kos sara hidup rakyat dan menarik lebih banyak pelaburan akan menjadi antara fokus Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan turut mengambil kira perkembangan geopolitik dunia yang masih tidak menentu dan kesannya terhadap ekonomi serta kos kehidupan rakyat.
Menurutnya, pergerakan harga minyak mentah antara faktor yang akan diberikan perhatian dalam merangka belanjawan berkenaan.
“Jadi mungkin dari segi perkiraan harga minyak mentah yang biasanya menjadi salah satu kayu ukur, itu akan menjadi antara faktor yang akan diambil kira,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang x Jago di Pasar Taman Seri Sentosa, di sini, hari ini.
Fahmi berkata, kerajaan juga akan memberikan perhatian kepada projek yang mampu menyelesaikan masalah rakyat dengan segera selain usaha meraih lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa.
Langkah itu turut penting bagi memastikan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dapat digerakkan dengan baik.Bagi Kementerian Komunikasi, antara keutamaan yang sedang diberikan perhatian ialah usaha memperluas capaian internet terutama di kawasan pedalaman serta mencari penyelesaian terhadap isu kemapanan industri media.
Kementerian itu turut meneliti beberapa insentif termasuk Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (CIME) serta Insentif Penggambaran di Malaysia (FIMI) yang berpotensi menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini.
Belanjawan 2027 merupakan Belanjawan MADANI kelima dan akan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober 2026 dengan tema “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”.
Kenyataan Prabelanjawan 2027 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada 18 Ogos lalu menyatakan penyediaannya mengambil kira keperluan mendesak untuk melindungi rakyat daripada kesan krisis tenaga dan tekanan kos sara hidup, di samping membina ekonomi yang lebih kompleks dan bernilai tinggi.
Sebanyak 10 bidang tumpuan digariskan bagi proses libat urus Belanjawan 2027, termasuk menangani tekanan kos sara hidup, memperkukuh perlindungan sosial dan perkhidmatan asas serta meningkatkan daya saing perniagaan dan produktiviti.










