KUALA LUMPUR — Belanjawan 2027 diharap tidak sekadar membawa pengumuman bantuan atau insentif baharu, sebaliknya mampu menjawab persoalan lebih besar mengenai pendapatan rakyat, kos kehidupan, daya saing perniagaan tempatan serta masa depan generasi muda.
Menjelang pembentangannya pada 9 Oktober depan, tekanan kos sara hidup kekal menjadi antara perkara yang diberi perhatian, namun cabaran yang dihadapi rakyat hari ini tidak lagi boleh dilihat daripada sudut harga barangan semata-mata.
Kemampuan isi rumah untuk meningkatkan pendapatan, mendapatkan pekerjaan berkualiti, menyimpan serta menanggung kos perumahan, kesihatan dan pengangkutan turut menentukan sejauh mana pertumbuhan ekonomi negara benar-benar dirasai.
Dalam masa sama, pemain perniagaan mahukan persekitaran yang membolehkan syarikat tempatan berkembang dan bersaing, manakala golongan muda mengharapkan peluang ekonomi yang membolehkan mereka membina kehidupan tanpa terus dibelenggu tekanan kewangan.
Jurang pendapatan dan kos hidup perlu dirapatkan
Profesor Madya Dr Shahsuzan Zakaria, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berpandangan isu kos sara hidup perlu dilihat daripada perspektif lebih luas dengan mengambil kira keupayaan pendapatan rakyat untuk berkembang seiring peningkatan kos kehidupan.
“Harapan saya, Belanjawan kali ini akan melihat isu kos sara hidup daripada perspektif yang lebih luas. Tumpuan yang perlu diberikan bukan hanya kepada persoalan bagaimana menurunkan harga barangan, tetapi juga bagaimana memastikan pendapatan rakyat berkembang seiring dengan peningkatan kos kehidupan,” katanya.
Menurut Shahsuzan, tekanan kos sara hidup akhirnya mempengaruhi kemampuan isi rumah untuk berbelanja, menyimpan dan membina kehidupan yang lebih stabil.
Beliau berpandangan prestasi ekonomi negara juga perlu diterjemahkan kepada perubahan yang benar-benar sampai ke peringkat isi rumah dan bukan hanya dicerminkan melalui angka pertumbuhan atau perubahan dasar.
“Terjemahan kejayaan melalui peningkatan angka dan perubahan dasar semata-mata belum memadai sekiranya peningkatan tersebut tidak dirasai dan sampai kepada isi rumah. Justeru, Belanjawan 2027 perlu merapatkan jurang antara prestasi ekonomi negara dengan realiti kewangan rakyat,” katanya.
Shahsuzan turut mahu perbelanjaan kerajaan lebih bersasar dan memberi nilai jangka panjang, di samping memperkukuh peluang ekonomi menerusi peningkatan kemahiran, digitalisasi dalam sektor perniagaan, sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta penciptaan pekerjaan bernilai tinggi.
“Kita tidak boleh bergantung kepada bantuan untuk menyelesaikan masalah pendapatan secara berterusan. Kerajaan mesti meletakkan sasaran bahawa matlamat akhir adalah untuk membina ekonomi yang membolehkan rakyat meningkatkan pendapatan mereka sendiri dan menjadi lebih berdaya tahan terhadap kejutan atau kekangan ekonomi pada masa hadapan,” katanya.
Pertumbuhan ekonomi mesti dirasai rakyat
Pandangan hampir sama dikongsi Dr Muhammad Syukri Abdullah, pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mahu Belanjawan 2027 benar-benar berorientasikan rakyat.
Menurutnya, meskipun ekonomi negara menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan, peningkatan harga barangan, kos perumahan, penjagaan kesihatan dan perbelanjaan harian masih memberi kesan kepada kesejahteraan isi rumah.
“Kerajaan perlu memastikan pertumbuhan ekonomi yang dicapai diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat secara langsung,” katanya.
Muhammad Syukri mahu pengukuhan pendapatan boleh guna diberikan perhatian melalui penciptaan pekerjaan berkualiti, peningkatan produktiviti serta galakan kepada sektor swasta untuk menawarkan gaji yang lebih kompetitif.
Beliau turut berpandangan bantuan bersasar kepada golongan B40 dan M40 perlu diteruskan dengan mekanisme yang lebih cekap dan telus, selain sokongan kepada usahawan mikro dan PKS diperhebatkan.
Perkhidmatan asas khususnya kesihatan, perumahan dan pengangkutan awam juga perlu terus diperkukuh kerana ketiga-tiga komponen itu mempunyai kesan langsung terhadap perbelanjaan isi rumah.
Pada masa sama, aspek tadbir urus dan kecekapan perbelanjaan kerajaan tidak boleh diketepikan bagi memastikan setiap peruntukan sampai kepada kumpulan sasaran dan menghasilkan impak yang sewajarnya.
“Belanjawan yang baik bukan sekadar menawarkan angka peruntukan yang besar, tetapi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan mampu menjana manfaat sebenar kepada rakyat dan negara,” katanya.
Muhammad Syukri turut melihat pelaburan strategik dalam sektor bernilai tinggi seperti ekonomi digital, teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan ekonomi berasaskan inovasi sebagai antara langkah penting untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi.
Industri tempatan mahu ruang lebih luas untuk bersaing
Di sebalik usaha menangani tekanan terhadap isi rumah, kemampuan syarikat tempatan untuk berkembang turut menjadi antara perkara yang diharapkan mendapat perhatian dalam Belanjawan 2027.
Ahli perniagaan, Ariff Khalid mencadangkan program penggalakan eksport termasuk bantuan geran dan insentif cukai dinilai semula bagi membantu pemain industri tempatan memperluaskan pasaran ke luar negara.
“Program penggalakan eksport melalui bantuan geran dan insentif cukai perlu dinilai semula agar pemain industri tempatan dapat memperluaskan pasaran ke luar negara.
“Insentif dan sokongan kepada syarikat pemula juga perlu diperkukuh bagi membantu mereka mengembangkan usaha perniagaan,” katanya.
Beliau turut melihat keperluan mewujudkan dasar lebih mesra usahawan dengan proses urusan bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan yang lebih cekap serta pada kadar yang berpatutan.
Ariff turut membangkitkan isu lambakan produk luar yang memasuki Malaysia melalui platform e-dagang yang boleh memberi tekanan kepada pemain industri tempatan.
“Kerajaan perlu mengkaji semula dasar dan polisi berkaitan lambakan produk luar yang masuk ke Malaysia melalui platform e-dagang seperti Shopee dan TikTok.
“Usaha membeli barangan buatan Malaysia juga perlu diperkukuh. Kita boleh melihat bagaimana model seperti Indonesia menjaga industri tempatan melalui kawalan produk yang masuk ke negara mereka,” katanya.
Dasar percukaian yang lebih jelas juga diharap dapat diwujudkan supaya usahawan tidak terbeban dengan kekeliruan akibat sistem cukai yang bertindih dan pelbagai.
Ariff turut mencadangkan pembangunan modal insan dan bakat tempatan diperkukuh melalui program latihan serta peningkatan kemahiran bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Dalam usaha membuka pasaran baharu, beliau melihat hubungan ekonomi dan kerjasama rentas sempadan dengan negara-negara Afrika serta Asia Tengah mempunyai potensi untuk diperluas bagi mewujudkan perkongsian kepakaran, jaringan perniagaan dan akses pasaran kepada syarikat Malaysia.
Belia mahu peluang bina masa depan
Bagi generasi muda, cabaran ekonomi turut berkait rapat dengan kemampuan membina kerjaya, membentuk keluarga dan pada masa sama melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu bapa.
Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Labuan, Yusrie Mohd Daud berkata, Belanjawan 2027 perlu memberi perhatian kepada realiti tersebut khususnya bagi anak muda yang kini berada dalam kedudukan menanggung pelbagai komitmen serentak.
“Sebagai anak muda, saya berharap Belanjawan 2027 memberi perhatian serius kepada generasi ‘sandwich’ yang perlu menjaga ibu bapa, membina keluarga dan pada masa sama merancang masa depan sendiri,” katanya.
Generasi ‘sandwich’ merujuk kepada golongan yang menanggung keperluan ibu bapa, pada masa sama memikul tanggungjawab terhadap keluarga sendiri.
“Kita perlukan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, pendapatan yang lebih baik dan sokongan kos sara hidup supaya anak muda tidak hanya mampu bertahan tetapi benar-benar mampu membina masa depan,” katanya.
Menurut Yusrie, peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji yang setimpal dengan kelulusan dan kemahiran perlu menjadi antara perkara utama yang diberikan perhatian.
Ekosistem keusahawanan belia juga perlu diperkukuh melalui geran, pembiayaan dan latihan yang lebih mudah diakses, selain proses permohonan yang lebih ringkas serta kurang birokrasi.
Beliau turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan insentif atau pengecualian cukai tertentu kepada golongan muda sebagai galakan untuk mereka membina kerjaya dan memulakan perniagaan.
Bagi Labuan, Yusrie berharap lebih banyak peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi berkemahiran tinggi diwujudkan supaya anak tempatan mempunyai pilihan untuk membina masa depan di wilayah itu tanpa perlu berhijrah keluar bagi mendapatkan peluang yang lebih baik.
Profesional muda mahu peluang cipta pekerjaan
Selain peluang mendapatkan pekerjaan, golongan profesional muda turut melihat keusahawanan sebagai satu lagi laluan penting untuk meningkatkan pendapatan dan membina masa depan.
Jurutera muda yang juga usahawan, Muhamad Aidil Tasnim Roslan mahu Belanjawan 2027 memberi perhatian kepada pembangunan kemahiran, peluang pekerjaan serta sokongan yang membolehkan lebih ramai anak muda membina perniagaan sendiri.
Menurutnya, peningkatan kos makanan, perumahan, pengangkutan dan pendidikan menjadikan kestabilan kewangan antara cabaran besar generasi muda, justeru bantuan yang diberikan tidak seharusnya hanya bersifat sementara.
Pendidikan dan peningkatan kemahiran turut dianggap penting, termasuk melalui penyediaan biasiswa, elaun sara hidup, peranti pembelajaran, latihan industri serta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang lebih luas.
“Saya berharap lebih banyak pekerjaan dengan gaji yang setimpal dengan kelayakan dan kemahiran dapat diwujudkan. Pada masa yang sama, isu pemilikan rumah perlu diberi perhatian melalui skim rumah mampu milik dan bantuan deposit rumah pertama,” katanya.
Dalam bidang keusahawanan pula, Aidil mahu lebih banyak geran permulaan, pinjaman mudah, latihan pengurusan perniagaan serta bantuan berkaitan digitalisasi, e-dagang dan pemasaran digital disediakan kepada golongan muda.
“Dengan sokongan yang mencukupi, anak muda bukan sahaja dapat mencari pekerjaan, tetapi juga berpeluang mencipta pekerjaan dan membina perniagaan sendiri,” katanya.
Baginya, pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan golongan muda bukan sekadar membantu mereka menghadapi tekanan semasa, malah menjadi asas kepada pembentukan ekonomi negara yang lebih kukuh pada masa hadapan.
Belanjawan mesti dirasai rakyat
Harapan yang disuarakan memperlihatkan bahawa ukuran terhadap Belanjawan 2027 tidak hanya akan dibuat berdasarkan jumlah peruntukan atau bilangan inisiatif baharu yang diumumkan.
Persoalannya ialah sama ada pertumbuhan ekonomi negara akhirnya sampai kepada rakyat melalui pendapatan yang lebih baik, pekerjaan berkualiti, perkhidmatan asas yang mampu ditanggung serta peluang untuk meningkatkan taraf hidup.
Pada peringkat perniagaan, ruang untuk syarikat tempatan berkembang, menembusi pasaran baharu dan bersaing secara lebih adil turut penting kerana kekuatan ekonomi domestik berkait secara langsung dengan penciptaan pekerjaan dan pendapatan rakyat.
Suara golongan muda pula menunjukkan isu pekerjaan tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan kemahiran, kemampuan memiliki rumah dan peluang menceburi bidang keusahawanan. Anak muda mahu pasaran kerja yang menghargai kelayakan mereka, tetapi pada masa sama mahukan ruang untuk membina sumber pendapatan dan perusahaan sendiri.
Ini menjadikan persoalan peluang ekonomi lebih luas daripada sekadar berapa banyak pekerjaan baharu dapat diwujudkan. Kualiti pekerjaan, kadar gaji, pembangunan bakat dan keupayaan rakyat mencipta peluang ekonomi sendiri turut menjadi ukuran penting.
Belanjawan 2027 akhirnya bukan sekadar soal berapa banyak kerajaan berbelanja, tetapi ke mana wang itu disalurkan, siapa yang mendapat manfaat dan sejauh mana setiap dasar mampu mengubah realiti kehidupan rakyat.
Jika jurang antara pertumbuhan ekonomi dengan realiti kewangan isi rumah dapat dirapatkan, perniagaan tempatan mempunyai ruang lebih luas untuk berkembang dan generasi muda mendapat peluang bukan sahaja mencari pekerjaan, malah mencipta pekerjaan, barulah keberhasilan Belanjawan 2027 benar-benar dapat dirasai melangkaui angka di atas kertas.










