LONDON — Chelsea membuka kempen Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian Xabi Alonso dengan kemenangan 3-2 ke atas Fulham dalam aksi derbi London Barat yang berlangsung sengit.
Joao Pedro mencuri tumpuan apabila membuka jaringan seawal saat ke-31, sekali gus mencatat gol terpantas dalam perlawanan pembukaan musim sepanjang 34 tahun sejarah Liga Perdana Inggeris.
Jaringan itu terhasil selepas Cole Palmer melakukan hantaran kepada penyerang Brazil berkenaan yang kemudian melambungkan bola melepasi penjaga gol Fulham, Bernd Leno.
Fulham bagaimanapun tidak mengambil masa lama untuk bangkit apabila Josh King menyamakan kedudukan pada minit ke-24 selepas menewaskan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.
Chelsea kembali berada di depan empat minit sebelum rehat menerusi Morgan Rogers.

Gerakan dari sebelah kanan yang dimulakan pertahanan baharu, Maxence Lacroix, membuka ruang kepada Rogers untuk menyudahkan peluang sekali gus meletakkan pelawat mendahului 2-1.
Rogers yang dibawa masuk dengan nilai perpindahan mencecah AS$117 juta (RM495 juta) turut membuka akaun jaringannya bersama Chelsea.
Empat minit selepas babak kedua bermula, Palmer pula mencatat nama sebagai penjaring.
Joao Pedro menahan bola di bahagian serangan sebelum mengumpannya kepada Palmer yang melepaskan rembatan melalui celah kaki Leno untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Gol itu menjadi perkembangan positif buat Palmer yang melalui musim lalu dengan beberapa masalah kecederaan sehingga terlepas peluang bersama skuad England di Piala Dunia.

“Musim lalu agak sukar dengan kecederaan dan sebagainya, tetapi sepanjang musim panas dan sejak saya kembali, saya bekerja lebih keras.
“Dengan kecederaan yang saya alami, saya perlu cuba mencegahnya dan bekerja lebih keras setiap hari.
“Saya tahu bakat yang saya miliki, jadi saya boleh menghasilkan persembahan seperti itu,” katanya.
Fulham kembali menghidupkan peluang menerusi Gonzalo Garcia pada minit ke-54.
Penyerang yang membuat penampilan sulung dalam liga selepas menyertai Fulham dari Real Madrid itu menanduk masuk bola selepas Sanchez menepis percubaan Timothy Castagne.
Tuan rumah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-78 apabila Antonee Robinson berjaya melambungkan bola melepasi Sanchez yang sudah keluar dari gawang, namun percubaannya tersasar.
Chelsea kemudian bertahan sehingga tamat permainan untuk memastikan tiga mata pertama Alonso sebagai pengendali The Blues.
Perlawanan itu turut mempertemukan Alonso dengan bekas rakan sepasukannya di Liverpool dan skuad kebangsaan Sepanyol, Alvaro Arbeloa yang kini mengendalikan Fulham.
Arbeloa juga membuat penampilan sulung sebagai pengurus Liga Perdana Inggeris selepas pernah menggantikan Alonso sebagai pengendali sementara Real Madrid musim lalu.
Chelsea masih menunggu kepulangan beberapa pemain termasuk Moises Caicedo dan pertahanan baharu Marco Palestra yang mengalami kecederaan, sementara kedudukan Sanchez di gawang turut dijangka mendapat saingan daripada Mike Penders yang kembali selepas tempoh pinjaman bersama Racing Strasbourg.










