MELAKA — Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengetuai senarai 1,328 penerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi ke-77 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, hari ini.
Fadhlina dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M.) yang membawa gelaran Datuk Seri pada istiadat yang berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri di sini.
Turut menerima darjah sama ialah Hakim Besar Malaya, Hashim Hamzah; Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abd Halim Aman dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Muhamad Norazlan Aris.
Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream Petronas, Sazali Hamzah serta Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Megat Zulkarnain Omardin turut menerima D.G.S.M.
Dalam istiadat sama, penyanyi terkenal tanah air, Siti Roziana Zain atau Ziana Zain pula kini bergelar Datuk selepas menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.).
Ziana yang dilahirkan di Merlimau, Jasin merupakan antara 189 penerima D.P.S.M. tahun ini.
Penganugerahan itu menjadi antara pengiktirafan penting dalam perjalanan seni Ziana selepas lebih tiga dekad berada dalam industri muzik tanah air dan menghasilkan deretan lagu popular termasuk Madah Berhelah, Puncak Kasih, Anggapanmu dan Putus Terpaksa.
Selain itu, seramai 56 individu menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M.) yang membawa gelaran Datuk Wira, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Mohd Sumali Reduan; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M. Kumar dan Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar.
Seramai 14 individu dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M.) yang membawa gelaran Datuk.
Dalam kategori lain, lima individu ditauliahkan sebagai Jaksa Pendamai, 106 penerima dianugerahkan Darjah Seri Melaka (D.S.M.), manakala 151 menerima Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M.).
Sebanyak 244 penerima dianugerahkan Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T.), Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) kepada 386 penerima, Pingat Bakti Masyarakat (P.B.M.) kepada 161 penerima dan Pingat Khidmat Lama (P.K.L.) kepada lima penerima.
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Salhah Salleh berkata, penganugerahan berkenaan mencerminkan penghargaan kerajaan negeri terhadap individu yang memberikan khidmat, sumbangan dan bakti dalam pelbagai bidang serta memainkan peranan dalam pembangunan dan kesejahteraan Melaka.
Menurutnya, istiadat tahun ini turut diselaraskan bersama semua agensi berkaitan dengan mematuhi prosedur dan tatacara ditetapkan bagi memastikan perjalanan majlis berlangsung lancar dan selamat.










