KUALA LUMPUR — Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemungkinan penggunaan kekerasan dalam penyatuan semula Taiwan dengan China sebagai tidak perlu, berbahaya dan terlalu simplistik.
Menurutnya, pendirian yang disuarakan Anwar dalam wawancara bersama wartawan Al Jazeera, Sreenivasan Jain yang disiarkan di YouTube pada 17 Ogos lalu berpotensi memberi gambaran bahawa Malaysia sedang berpihak kepada China dalam persaingan geopolitik antara Beijing dan Washington.Ong berkata, Perdana Menteri tidak seharusnya memberikan jawapan secara langsung apabila ditanya mengenai kemungkinan penggunaan kekerasan dalam isu Taiwan kerana pendirian dasar luar Malaysia selama ini lebih berhati-hati.
“Setakat pengetahuan saya, pendirian dasar luar Malaysia adalah sama ada memilih untuk tidak menyatakan pendirian mengenai kaedah penyatuan semula antara Taiwan dan China atau merujuk kepada istilah ‘penyatuan semula secara aman’ sebagai titik rujukan kita.
“Setakat pengetahuan saya juga, tidak pernah ada Perdana Menteri Malaysia yang secara terbuka menyokong penyatuan semula Taiwan dengan China melalui penggunaan kekerasan,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.
Ong berkata, kenyataan itu juga tidak selari dengan pendekatan Malaysia yang selama ini cuba mengekalkan keseimbangan dalam hubungannya dengan China dan Amerika Syarikat.
Menurut beliau, kenyataan sedemikian boleh ditafsirkan pembuat dasar di kedua-dua negara sebagai menunjukkan Malaysia semakin cenderung kepada salah satu pihak.
Dalam masa sama, Ong memberi amaran bahawa kontroversi itu boleh menjejaskan keyakinan pelabur Taiwan, khususnya dalam sektor semikonduktor yang menyaksikan peningkatan pelaburan susulan strategi kepelbagaian rantaian bekalan “Taiwan + One”.
Katanya, Taiwan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2025 dengan jumlah perdagangan mencecah RM230 bilion selepas meningkat 32 peratus pada 2024 dan sekali lagi sebanyak 32 peratus pada 2025.Taiwan juga merupakan pelabur asing kelapan terbesar di Malaysia pada tahun lalu dengan lebih RM4 bilion pelaburan diluluskan berdasarkan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), katanya.
Ong turut memetik kenyataan Kementerian Luar Taiwan yang memberi amaran bahawa pendirian Anwar berpotensi memberi kesan kepada keyakinan syarikat negara itu untuk melabur di Malaysia.
“Memandangkan terdapat hubungan rapat antara kedaulatan negara dan keselamatan ekonomi, sokongan berpihak Perdana Menteri Anwar kepada China mungkin memberi kesan negatif terhadap keyakinan syarikat Taiwan yang merancang untuk melabur di Malaysia,” menurut kenyataan kementerian itu seperti dipetik Ong.
Katanya, kebimbangan sama turut disuarakan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Taiwan di Malaysia (TCCIM).
Ong berkata, Malaysia sepatutnya terus memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Taiwan secara berhati-hati tanpa menjejaskan dasar Satu China yang menjadi asas penting hubungan Kuala Lumpur dengan Beijing.
“Industri semikonduktor Malaysia sedang berkembang pesat hasil tekanan geopolitik ‘China + One’ dan juga ‘Taiwan + One’.
“Daripada mendedahkan Malaysia kepada publisiti negatif yang mungkin menjejaskan sebahagian pelaburan dari Taiwan, Malaysia sepatutnya secara senyap memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Taiwan tanpa menjejaskan dasar Satu China,” katanya.
Selain aspek ekonomi, Ong turut mempertikaikan perbandingan Anwar antara isu Taiwan-China dengan kemungkinan sebuah negeri di Malaysia mahu keluar daripada Persekutuan.
Menurutnya, perbandingan itu terlalu mudah kerana Sabah dan Sarawak menyertai pembentukan Malaysia pada 1963 bersama Singapura, selain proses demokrasi melalui pilihan raya negeri dan Persekutuan terus berlangsung secara berkala.
Katanya, sekiranya isu pemisahan sesebuah wilayah sekalipun timbul dalam sebuah negara demokrasi, terdapat mekanisme aman yang boleh digunakan termasuk referendum tanpa perlu menggunakan kekerasan.
Ong berharap kontroversi itu akan reda tanpa menjejaskan kepentingan politik dan ekonomi Malaysia serta menasihatkan Perdana Menteri supaya membuat persediaan lebih menyeluruh sebelum menerima wawancara antarabangsa pada masa hadapan.
“Nasihat saya kepada Anwar Ibrahim ialah supaya membuat persediaan lebih baik untuk wawancara seperti ini pada masa hadapan.
“Tanpa persediaan mencukupi dan membaca nota taklimat yang diberikan kepadanya, mungkin lebih baik Anwar menolak wawancara sedemikian pada masa hadapan,” katanya.
Dalam wawancara berkenaan, Anwar ditanya mengenai pendirian Malaysia terhadap Taiwan dan kemungkinan China menggunakan kekerasan bagi mencapai penyatuan semula. Jawapan Perdana Menteri mengenai perkara itu kemudian mencetuskan kritikan daripada Taiwan serta perdebatan mengenai sama ada kenyataan berkenaan mencerminkan perubahan dalam pendirian dasar luar Malaysia.
Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China sejak 1974 dan berpegang kepada dasar Satu China yang mengiktiraf Beijing sebagai kerajaan China. Pada masa sama, Malaysia mengekalkan hubungan ekonomi dan perdagangan tidak rasmi dengan Taiwan.
Taiwan mempunyai kerajaan, sistem politik dan angkatan pertahanannya sendiri, namun Beijing menganggap pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayah China dan tidak menolak penggunaan kekerasan bagi mencapai penyatuan semula.













