PEKAN — Almarhumah Tengku Puteri Seri Kemala, Tengku Dato’ Sri Setia Hajjah Aishah binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dimakamkan di Makam Diraja Pekan, hari ini.
Istiadat pemakaman berlangsung mengikut adat istiadat Diraja Pahang dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Ali Rustam dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail antara kenamaan yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhumah.
Jenazah Almarhumah tiba di Masjid Sultan Ahmad 1, di sini kira-kira jam 1.25 petang sebelum solat Zohor dan solat jenazah ditunaikan.
Kerabat diraja, pembesar negeri serta tetamu yang hadir kemudian memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah dibawa ke Makam Diraja Pekan untuk disemadikan.
Selepas pemakaman selesai, bacaan Surah Yasin diketuai Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim sebelum diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa.
Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah kemudiannya berkenan menyiram air dan menabur bunga rampai di pusara Almarhumah.
Istiadat itu diteruskan oleh Tengku Hassanal serta kerabat Diraja Pahang yang hadir.
Almarhumah Tengku Puteri Seri Kemala merupakan puteri kepada Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Sultan Pahang kelima dalam era moden.
— KESULTANAN PAHANG











