PUTRAJAYA — Kerajaan akan meningkatkan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah kepada RM1.5 bilion pada 2027, selain membuka akses aplikasi kecerdasan buatan (AI) secara percuma kepada 100,000 belia berusia antara 18 hingga 30 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan penyelenggaraan sekolah itu meningkat 50 peratus berbanding RM1 bilion sebelum ini dan akan meliputi semua aliran pendidikan.
Menurut beliau, ia termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.
“Kedua, peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi tahun 2027 akan ditingkatkan 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana sempena Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Anwar berkata, Kementerian Pendidikan turut diarahkan memulakan gerak kerja di setiap daerah mulai bulan depan bagi meneliti permohonan serta keperluan pembaikan sekolah.
Langkah itu bagi memastikan kerja penyelenggaraan tidak tertangguh sehingga tahun hadapan.
Dalam perkembangan sama, beliau mengumumkan Program AI Untuk Rakyat akan dibuka kepada 100,000 belia Malaysia berusia antara 18 hingga 30 tahun.
Belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI terpilih secara percuma selama tiga bulan.
Pengumuman berkenaan merupakan antara enam ikhtiar segera kerajaan yang diumumkan menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan sebelum pembentangan Belanjawan 2027.
Anwar berkata kerajaan memilih untuk mengambil beberapa langkah lebih awal selepas mengambil kira tekanan serta keperluan rakyat yang tidak boleh menunggu sehingga pembentangan belanjawan pada Oktober.
“Tekanan sara hidup tak tunggu bulan Oktober, perniagaan perlu berkembang sekarang, tak boleh tunggu bulan Oktober,” katanya.
Selain pendidikan dan pembangunan kemahiran digital, kerajaan turut mengumumkan peningkatan kelayakan asas BUDI95 kepada 300 liter sebulan, peruntukan RM1 bilion bagi memperkukuh digitalisasi sektor kesihatan awam serta beberapa langkah membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).













