PUTRAJAYA — Kerajaan bersetuju meningkatkan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan berkuat kuasa 1 September ini, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 16 juta pengguna RON95 bersubsidi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut meningkatkan kelayakan BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan kepada lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak.
“Kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan.
“Ini bermakna lebih 16 juta pengguna akan menikmati RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana sempena Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Pengumuman itu dibuat antara enam ikhtiar segera kerajaan bagi menangani tekanan yang sedang dihadapi rakyat dan perniagaan menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
Anwar berkata kerajaan mengambil keputusan untuk bertindak lebih awal selepas mengambil kira bahawa tekanan kos sara hidup tidak boleh menunggu sehingga pembentangan belanjawan pada Oktober.
“Tekanan sara hidup tak tunggu bulan Oktober, perniagaan perlu berkembang sekarang, tak boleh tunggu bulan Oktober,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan memahami rakyat masih berdepan tekanan kos kehidupan walaupun pelbagai bentuk bantuan dan penyasaran subsidi telah dilaksanakan sebelum ini.
Antaranya termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peruntukan keseluruhan RM15 bilion tahun ini, selain penyasaran subsidi elektrik yang menurutnya memberi manfaat kepada 85 peratus pengguna.
Anwar berkata pelbagai langkah yang telah dilaksanakan itu masih belum menyelesaikan sepenuhnya masalah kos sara hidup dan kerajaan perlu terus mencari ruang untuk membantu rakyat.
Beliau turut menegaskan kerajaan tidak menganggap segala permasalahan rakyat telah selesai, termasuk tekanan yang dihadapi isi rumah dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Dalam amanat sama, Anwar mengumumkan lima lagi langkah termasuk peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah kepada RM1.5 bilion, program AI untuk 100,000 belia, RM1 bilion bagi memperkukuh digitalisasi sektor kesihatan awam, peningkatan ambang pengecualian e-Invois kepada RM3 juta serta tambahan kemudahan pembiayaan mikro dan Geran Sejahtera MADANI.













