PUTRAJAYA — Kerajaan mengumumkan enam ikhtiar segera bagi meringankan tekanan kos sara hidup rakyat dan membantu perniagaan tanpa menunggu pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu diambil selepas mengambil kira tekanan yang sedang dihadapi rakyat ketika ini, termasuk kos kehidupan, keperluan sekolah dan kesihatan serta cabaran perniagaan untuk terus berkembang.
“Tekanan sara hidup tak tunggu bulan Oktober, perniagaan perlu berkembang sekarang, tak boleh tunggu bulan Oktober.
“Maka di ambang kemerdekaan ini saya terpaksalah berikhtiar mencari jalan, mengambil langkah dan mengumumkan sesuatu yang boleh melegakan sementara,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana sempena Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Antara langkah diumumkan ialah meningkatkan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan yang akan memberi manfaat kepada lebih 16 juta pengguna RON95 bersubsidi.
Lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak pula akan menerima BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan.
Kerajaan turut meningkatkan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi 2027 sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion, merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.
Kementerian Pendidikan juga diarahkan memulakan gerak kerja di setiap daerah mulai bulan depan bagi meneliti keperluan pembaikan sekolah tanpa menunggu sehingga tahun hadapan.
Bagi golongan muda, Program AI Untuk Rakyat akan dibuka kepada 100,000 belia berusia antara 18 hingga 30 tahun dengan mereka yang melengkapkan modul ditetapkan menerima langganan aplikasi kecerdasan buatan terpilih secara percuma selama tiga bulan.
Sektor kesihatan awam pula akan menerima peruntukan RM1 bilion melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkukuh kecekapan digital termasuk pelaksanaan rekod perubatan elektronik dan ketersambungan internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam.
Langkah itu menurut Anwar akan membantu mempercepatkan rawatan dan mengurangkan tempoh menunggu pesakit.
Kerajaan pada masa sama menaikkan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun, sekali gus mengecualikan perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi jumlah berkenaan daripada kewajipan melaksanakannya.
Kemudahan pembiayaan mikro untuk perniagaan kecil turut ditambah sebanyak RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.
Kerajaan juga memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI berjumlah RM200 juta bagi membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta mereka yang menjalankan perniagaan dari rumah.
Anwar berkata langkah berkenaan berasaskan prinsip bahawa manfaat daripada perkembangan ekonomi negara perlu kembali kepada rakyat.
“Pertumbuhan ekonomi negara mesti dikembalikan kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu, beliau mengakui kerajaan belum berjaya memenuhi keseluruhan harapan rakyat walaupun beberapa petunjuk ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif.
Menurutnya, kerajaan perlu terus memperbaiki kelemahan serta mengekalkan kestabilan bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.













