KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan (KPM) akan mewujudkan saluran khas bagi membolehkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengemukakan senarai keperluan atau ‘wishlist’ sekolah untuk dipertimbangkan dalam peruntukan penyelenggaraan tambahan RM500 juta tahun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam hantaran di Facebook beliau berkata, langkah itu bagi memastikan setiap peruntukan yang disalurkan benar-benar digunakan untuk menyelesaikan masalah paling mendesak di sekolah.
Menurutnya, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia turut diarahkan menggerakkan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) supaya turun padang bagi mengenal pasti sendiri keadaan dan keperluan sekolah.
“Saya telah meminta Datuk Dr. Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia menggerakkan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk turun padang. Jumpa pihak sekolah. Lihat sendiri keadaannya. Dengar apa yang paling mendesak,” katanya.
Fadhlina berkata, keutamaan akan diberikan kepada sekolah yang paling memerlukan, khususnya melibatkan masalah kritikal yang perlu diselesaikan segera.
Antara perkara yang boleh dikemukakan pihak sekolah menerusi saluran khas berkenaan termasuk tandas yang perlu dibaiki, bumbung bocor, pendawaian uzur serta kemudahan asas yang sudah lama menunggu perhatian.
Beliau berkata, pendekatan itu penting kerana warga sekolah adalah pihak yang berdepan dengan masalah berkenaan setiap hari dan lebih mengetahui keperluan sebenar di lapangan.
“Hari ini saya mempengerusikan mesyuarat susulan pengumuman YAB Perdana Menteri berkaitan peruntukan tambahan penyelenggaraan sekolah sebanyak RM500 juta bagi tahun 2027.
“Peruntukan penyelenggaraan sekolah bagi tahun 2027 sudah diumumkan. Sekarang kita pastikan ia sampai kepada yang benar-benar memerlukan,” katanya.











