KUALA LUMPUR — Industri di kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 300 perlu memastikan pelepasan udara daripada punca utama dikurangkan susulan keadaan jerebu yang semakin serius, khususnya di Sarawak.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan langkah itu antara tindakan yang perlu diberi perhatian apabila kualiti udara mencapai paras berbahaya, selain pemantauan dan penguatkuasaan yang dipertingkatkan di kawasan terjejas.
Setakat jam 4 petang hari ini, enam kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap berbahaya.
IPD Serian mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 388, diikuti Kuching (363), Sarikei (352), Samarahan (333), Sibu (329) dan Sri Aman (319).
Tiga lagi kawasan di negeri itu berada pada tahap sangat tidak sihat iaitu Bintulu dengan bacaan 249, Mukah (242) dan Samalaju (236).
JAS berkata, pihaknya di Sarawak terus melaksanakan rondaan, Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) serta tindakan penguatkuasaan terutama di lokasi yang dikenal pasti berisiko berlaku pembakaran terbuka.
Pemantauan turut dipertingkatkan di kawasan hutan, tanah gambut, tapak pelupusan sampah, kawasan pertanian dan perladangan serta kawasan industri yang berpotensi menjadi punca pembakaran terbuka atau pencemaran.
Dalam masa sama, tindakan tegas dan segera akan diambil terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau sumber pencemaran yang dikenal pasti.
Keadaan jerebu ketika ini turut dipengaruhi pergerakan asap dari luar negara apabila 261 titik panas dikesan di Kalimantan dan 63 lagi di Sumatera berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 31 Ogos.
Hanya dua titik panas dikesan dalam negara iaitu masing-masing satu di Johor dan Sarawak.
Kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal turut diperhatikan meliputi Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Utara, selain Sabah, Sarawak serta Brunei.
Susulan peningkatan aktiviti titik panas dan jerebu yang semakin meluas di Rantau Selatan ASEAN, Sekretariat ASEAN telah mengaktifkan Tahap Amaran 3 sejak 27 Ogos lalu.
JAS berkata pemantauan terhadap kualiti udara, titik panas, keadaan meteorologi dan perkembangan jerebu rentas sempadan akan diteruskan bagi membolehkan tindakan penyelarasan dibuat di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.












