PUTRAJAYA — Syarikat yang berdepan masalah kewangan membabitkan aset, pemiutang atau prosiding di beberapa negara kini mempunyai kerangka lebih tersusun untuk diselamatkan menerusi Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 yang berkuat kuasa sejak 28 Ogos lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, akta itu menyediakan mekanisme khusus bagi mengendalikan kes insolvensi yang melibatkan lebih daripada satu bidang kuasa.
Menurut kenyataan bersama mereka hari ini, pelaksanaan akta tersebut dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan kes sedemikian selain memperkukuh kerjasama antara mahkamah dan pihak berkuasa berkaitan.
“Akta ini turut membantu memaksimumkan nilai aset penghutang dan memudahkan penyelamatan perniagaan bagi melindungi pelaburan serta memelihara pekerjaan,” menurut kenyataan itu.
Akta berkenaan turut memberi kepastian undang-undang yang lebih jelas kepada pemiutang dan pihak berkepentingan apabila sesebuah kes insolvensi mempunyai kaitan dengan beberapa negara.
Ia berasaskan Undang-Undang Model Insolvensi Rentas Sempadan yang diterima pakai oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL), namun disesuaikan dengan sistem perundangan, amalan kehakiman, keadaan ekonomi dan kepentingan awam Malaysia.
Azalina dan Armizan berkata, penguatkuasaan akta itu juga selaras dengan agenda reformasi undang-undang Kerajaan MADANI dalam memastikan kerangka perundangan negara kekal relevan dengan perkembangan ekonomi dan perdagangan antarabangsa.
Kerajaan, menurut mereka, komited memastikan akta tersebut dilaksanakan secara teratur dan berkesan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serta kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan antarabangsa.












