KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pendekatan terhadap industri perfileman negara lebih terbuka dan tidak terlalu dibelenggu sekatan sehingga menjejaskan kreativiti serta keupayaan industri itu untuk berkembang.
Menurut beliau, kerajaan perlu mencari keseimbangan antara memberi ruang kepada penggiat seni untuk berkarya dengan keperluan mempertahankan nilai, budaya dan akhlak masyarakat.
Anwar berkata, perkara itu turut ditegaskan dalam Jemaah Menteri supaya pendekatan kerajaan terhadap industri kreatif lebih lunak tanpa mengorbankan identiti negara.
“Saya telah menegaskan dalam Jemaah Menteri, saudara YB Fahmi tahu, dan Menteri Dalam Negeri serta menteri-menteri berkenaan, supaya sikap kita itu harus juga lebih lunak, lebih terbuka.
“Tidak terbuka sehingga luntur budaya, akhlak dan nilai, tetapi tidak terlalu mengongkong,” katanya ketika berucap merasmikan Menara FINAS Damansara di Damansara Damai, hari ini.
Menurut Anwar, industri perfileman merupakan bidang kreatif yang memerlukan ruang untuk berkembang dan sukar untuk menjadi kompetitif sekiranya terlalu banyak kekangan dikenakan terhadap penggiatnya.
“Filem mahu dikembangkan sebagai suatu industri yang lebih kompetitif dan menarik khalayak, tetapi terlalu banyak sekatan dan kongkongan. Tidak mungkin berkembang,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sedar terdapat pengaruh konservatif yang kuat dalam masyarakat sehingga sesetengah babak atau karya yang dianggap berbeza dan berani boleh menerima kecaman hebat termasuk menerusi media sosial.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak seharusnya menyebabkan industri seni menjadi terlalu tertutup sehingga menyekat perkembangan idea, kreativiti dan pemikiran kritis.
“Percayalah, negara harus berkembang. Teras budaya, akhlak dan nilai-nilai tidak boleh kita kesampingkan.
“Tetapi kalau industri ini, seperti juga universiti yang akan kita bicarakan, harus mendukung semangat perubahan, teknologi baharu, kreatif dan kritis, ia harus lebih terbuka,” katanya.
Anwar pada masa sama menegaskan keterbukaan yang dimaksudkan bukan bermakna Malaysia perlu mengikut sepenuhnya acuan Barat atau meninggalkan nilai tempatan.
Sebaliknya, beliau berkata, negara perlu kekal berpaksikan budaya, identiti dan nilai sendiri sambil menerima hakikat bahawa generasi muda menginginkan suasana yang lebih bebas dan terbuka.
“Kalau mahu negara ini maju, tentu kita harus terima kenyataan bahawa anak-anak muda dan khalayak menginginkan suatu suasana yang lebih bebas dan terbuka.
“Tidak bermakna kita harus ikut acuan Barat, tetapi acuan Timur itu tidak semestinya aliran neokonservatif. Aliran Timur itu harus kekal dengan daya, dengan budaya, dengan nilai, dengan akhlak, tetapi harus lebih terbuka,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan kerajaan akan menyediakan ruang perbincangan yang lebih terbuka supaya penggiat industri seni tidak berasa terlalu tertekan atau terkongkong dalam menghasilkan karya.
Anwar berkata, industri perfileman bukan sahaja perlu diperkasa sebagai sektor ekonomi dan kreatif, malah mempunyai peranan dalam membentuk kesedaran, budaya serta jati diri masyarakat.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Seri Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Pengerusi FINAS Datuk Dr Hans Isaac.













