KUALA LUMPUR — Percaturan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin terbuka apabila Perikatan Nasional (PN) mendakwa semakin hampir mencapai persefahaman dengan Barisan Nasional (BN), ketika Pakatan Harapan (PH) juga sudah membuka saluran rundingan dengan gabungan itu.
Namun BN belum membuat pilihan, dengan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat bahawa keputusan akhir akan mengambil kira sentimen akar umbi dan realiti politik tempatan sebelum dimuktamadkan kepimpinan pusat.
“Sentimen akar umbi bercampur-campur. Jadi, kita lakukan kajian terperinci,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Sedunia (WITEX) 2026 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Pengerusi BN Melaka yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh diberi ruang menentukan bentuk kerjasama di peringkat negeri sebelum keputusan berkenaan dimuktamadkan kepimpinan UMNO dan BN pusat.
Kenyataan itu muncul hanya beberapa jam selepas Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa perbincangan awal antara PN dan BN menunjukkan perkembangan positif.
Menurut Takiyuddin, pimpinan kedua-dua gabungan dijangka mengadakan perbincangan lanjut bagi memperincikan bentuk kerjasama termasuk pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Namun gambaran bahawa BN-PN semakin hampir kepada kesepakatan belum bermakna PH sudah terkeluar daripada percaturan.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengesahkan kemungkinan kerjasama PH-BN akan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pilihan Raya gabungan itu, dengan Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diberikan peranan dalam perbincangan berkenaan.
“Itu memang Jawatankuasa Pilihan Raya akan bincang,” kata Anwar ketika ditanya mengenai kemungkinan kerjasama berkenaan.
Saifuddin sebelum ini juga tidak menolak kemungkinan mengadakan pertemuan dengan Ab Rauf bagi membincangkan kerjasama menjelang PRN.
Keadaan itu meletakkan BN sebagai blok utama yang sedang dirundingkan kedua-dua pihak, sesuatu yang digambarkan sendiri Ab Rauf apabila mengumpamakan gabungan itu sebagai “anak dara cantik” yang sedang dipinang.
BN Melaka bagaimanapun mempunyai garis permulaan yang jelas dalam mana-mana rundingan.
Ab Rauf sebelum ini menegaskan BN mahu mempertahankan kesemua 21 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRN 2021 dan sebarang rundingan mengenai formula “BN Plus” perlu bermula daripada kedudukan tersebut.
Ini bermakna ruang rundingan sebenar mungkin tertumpu kepada tujuh kerusi lain, sekiranya BN kekal dengan pendirian mempertahankan semua kerusi dimenanginya.
Pada PRN 2021, BN membentuk kerajaan selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lima kerusi dan PN dua kerusi.
Tekanan dari dalam UMNO
Dalam masa sama, keputusan mengenai pasangan politik BN bukan hanya melibatkan rundingan antara parti, tetapi turut berdepan perbezaan pandangan dalam UMNO sendiri.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh secara terbuka menolak kerjasama BN-PH dan mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak akan bertanding pada PRN sekiranya kedua-dua gabungan itu bekerjasama.
Ab Rauf bagaimanapun menyifatkan pendirian itu sebagai terlalu awal kerana BN sendiri belum menentukan dengan siapa ia akan bekerjasama.
Selain pilihan PH atau PN, kemungkinan BN bergerak secara solo juga masih belum diketepikan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan sebelum ini berkata hala tuju itu termasuk sama ada membentuk kerjasama atau bergerak bersendirian akan dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 28 Ogos ini.
Hubungan PH-BN Melaka tidak semudah di Putrajaya
Percaturan di Melaka juga mempunyai latar politik berbeza berbanding hubungan PH-BN di peringkat Persekutuan.
Walaupun wakil PH pernah diberikan tempat dalam pentadbiran negeri bagi mencerminkan semangat Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, hubungan itu retak bulan lalu susulan pertikaian mengenai pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan pelantikan ADUN lantikan.
Wakil DAP dan Amanah kemudiannya menarik diri daripada pentadbiran negeri, sementara Ab Rauf menegaskan BN mempunyai majoriti sendiri dan tidak bergantung kepada PH untuk membentuk kerajaan Melaka.
Faktor itu menjadikan rundingan PH-BN di Melaka tidak semestinya boleh dianggap sebagai kesinambungan automatik kepada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Pada masa sama, PN datang ke meja dengan pengalaman kerjasama politik bersama BN dalam PRN Negeri Sembilan baru-baru ini, sementara beberapa pemimpin UMNO turut membangkitkan kemungkinan formula itu dibawa ke Melaka.
Dengan PH dan PN masing-masing membuka laluan rundingan, tekanan akar umbi UMNO pula datang dari arah berbeza, keputusan BN mengenai “jodoh” politiknya dijangka menjadi antara penentu utama bentuk pertandingan PRN Melaka.
Mandat DUN Melaka akan berakhir pada 31 Disember ini, manakala Ab Rauf sebelum ini memberi bayangan pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa.










