KUALA LUMPUR — Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mengumumkan keluar daripada DAP selepas 14 tahun bersama parti itu, berkuat kuasa hari ini.
Ong yang menyertai DAP pada 2012 berkata, keputusan itu dimaklumkan menerusi surat kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dengan salinan kepada Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Khoo Poay Tiong.
“Saya menulis untuk memaklumkan bahawa saya akan meletak jawatan sebagai ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkuat kuasa 31 Ogos 2026,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam kenyataan sama, Ong berkata beliau tidak merancang menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat dan tidak akan bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Bagaimanapun, beliau kekal dengan komitmennya untuk membantu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkempen sekiranya diberikan kerusi untuk bertanding pada PRU16.
“Saya tetap komited untuk menunaikan janji yang telah saya buat pada 10 Januari 2026, untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen dalam PRU16, jika beliau diberi kerusi untuk bertanding,” katanya.
Ong turut merakamkan penghargaan kepada DAP atas peluang yang diberikan kepadanya untuk menyumbang kepada parti dan negara sepanjang tempoh keahliannya.
Beliau mula menjadi Ahli Parlimen Serdang pada 2013 sebelum mewakili Bangi dari 2018 hingga 2022.
Ong turut pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari 2018 hingga 2020, selain menjadi ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang dilantik dari 2019 hingga 2022.
Beliau juga pernah menjadi ahli Jawatankuasa DAP Selangor dari 2018 hingga 2024.
Ong secara khusus mengucapkan terima kasih kepada Tony Pua yang mengajaknya menyertai DAP serta memberikan bimbingan sepanjang 14 tahun beliau bersama parti itu.
Beliau turut menghargai bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memberinya peluang bertanding di kerusi Parlimen Serdang dan Bangi serta dilantik sebagai Timbalan Menteri.
“Saya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan ahli dan pemimpin DAP di Serdang dan Bangi semasa penggal saya sebagai Ahli Parlimen dari 2013 hingga 2022, berkhidmat untuk pengundi dan penduduk kawasan tersebut sebagai wakil rakyat mereka,” katanya.
Menurut Ong, beliau akan terus menyumbang kepada negara melalui platform lain termasuk podcast “Are We OK”, jawatan penasihat serta kerjasama dengan individu yang mempunyai kepentingan bersama.












