PUTRAJAYA — Kerajaan bersetuju menaikkan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun bagi meringankan beban perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu bermakna perniagaan yang mencatatkan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-Invois.
“Kerajaan bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invoice sekali lagi daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.
“Dengan ini, perniagaan yang mencatat jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-Invoice,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana sempena Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Dalam amanat sama, Anwar turut mengumumkan tambahan RM1 bilion bagi kemudahan pembiayaan mikro kepada perniagaan kecil.
Tambahan itu menjadikan keseluruhan dana pembiayaan berkenaan bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.
Kerajaan juga memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI berjumlah RM200 juta bagi membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta mereka yang menjalankan perniagaan dari rumah.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada enam ikhtiar segera yang diumumkan kerajaan bagi menangani tekanan dihadapi rakyat dan perniagaan menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
Anwar berkata, kerajaan memilih untuk mengambil tindakan lebih awal kerana tekanan terhadap kos kehidupan dan keperluan perniagaan tidak boleh menunggu sehingga Oktober.
“Tekanan sara hidup tak tunggu bulan Oktober, perniagaan perlu berkembang sekarang, tak boleh tunggu bulan Oktober,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan menyedari masih terdapat kekangan yang dihadapi perniagaan kecil termasuk pengusaha kecil, penjaja, peniaga pasar malam serta golongan yang menjalankan aktiviti perniagaan dari rumah.
Beliau berkata, enam langkah yang diumumkan itu berasaskan prinsip bahawa manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara perlu dikembalikan kepada rakyat.
“Pertumbuhan ekonomi negara mesti dikembalikan kepada rakyat,” katanya.













