CUPERTINO — Apple memulakan era baharu hari ini apabila John Ternus secara rasmi mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), menggantikan Tim Cook yang menamatkan tempoh 15 tahun menerajui syarikat teknologi itu.
Ternus, 51, sebelum ini merupakan Naib Presiden Kanan Kejuruteraan Perkakasan Apple dan antara tokoh penting di sebalik pembangunan pelbagai produk utama syarikat termasuk iPhone, iPad, Mac, AirPods dan Apple Watch.
Pelantikannya berkuat kuasa 1 September selepas diumumkan Apple pada April lalu sebagai sebahagian proses perancangan penggantian kepimpinan jangka panjang yang diluluskan sebulat suara lembaga pengarah syarikat.
Cook pula tidak meninggalkan Apple sepenuhnya apabila mengambil alih peranan sebagai Pengerusi Eksekutif lembaga pengarah dan akan terus membantu dalam beberapa aspek syarikat termasuk hubungan dengan pembuat dasar di seluruh dunia.
Peralihan itu menyaksikan Ternus mewarisi sebuah syarikat bernilai kira-kira AS$4.6 trilion, namun pada masa sama berdepan tekanan besar untuk membuktikan Apple masih mampu menjadi peneraju inovasi ketika persaingan dalam kecerdasan buatan (AI) semakin sengit.
Antara cabaran paling besar menanti Ternus ialah mempercepat usaha Apple dalam AI selepas pesaing seperti Google, Microsoft dan Meta bergerak lebih agresif membangunkan teknologi serta infrastruktur berkaitan.
Apple sebelum ini mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam perbelanjaan infrastruktur berbanding pesaingnya, sekali gus memberikan Ternus ruang lebih luas untuk menentukan sama ada syarikat itu akan meningkatkan pelaburan sendiri atau terus bergantung kepada kerjasama strategik dengan pihak luar.
Financial Times melaporkan kedudukan itu memberikan CEO baharu Apple fleksibiliti besar untuk menentukan hala tuju syarikat, disokong rangkaian bekalan global yang kukuh serta lebih 2.5 bilion peranti aktif di seluruh dunia.
Latar belakang Ternus sebagai jurutera perkakasan turut meningkatkan jangkaan bahawa Apple akan kembali memberi perhatian lebih besar kepada pembangunan produk baharu termasuk telefon boleh lipat, robotik dan peranti berasaskan AI.
Beliau bakal berdepan ujian besar pertamanya sebagai CEO apabila Apple dijadual mengadakan acara pelancaran produk pada 9 September, dengan perhatian dijangka tertumpu kepada generasi baharu iPhone serta kemungkinan kemunculan iPhone boleh lipat pertama syarikat itu.
Ternus mengambil alih selepas Cook mencatatkan antara tempoh kepimpinan korporat paling berjaya dalam sejarah teknologi moden.
Sejak menggantikan pengasas bersama Apple, Steve Jobs pada 2011, Cook berjaya mengembangkan Apple daripada sebuah syarikat bernilai ratusan bilion dolar kepada antara syarikat paling bernilai di dunia, selain memperluaskan perniagaan daripada kebergantungan terhadap jualan peranti kepada ekosistem perkhidmatan yang jauh lebih besar.
Namun, persoalan utama kini ialah sama ada Ternus mampu membawa Apple melangkaui legasi Cook dan mengembalikan keupayaan syarikat itu untuk menghasilkan produk yang benar-benar mengubah pasaran seperti yang pernah dilakukan ketika era Steve Jobs.
Dengan AI kini menjadi medan persaingan utama industri teknologi, kejayaan Ternus mungkin tidak lagi hanya diukur melalui jualan iPhone atau nilai pasaran Apple, sebaliknya sejauh mana beliau mampu memastikan syarikat itu kekal relevan dalam gelombang teknologi seterusnya.












