PUTRAJAYA – Kabinet bersetuju supaya satu akta baharu dibangunkan bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), susulan keputusan kerajaan untuk memansuhkan undang-undang berusia lebih lima dekad itu.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Ogos, empat hari selepas Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan AUKU pada 15 Ogos lalu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini berkata, undang-undang baharu itu akan dibangunkan melalui pendekatan Satu Akta Pendidikan Tinggi bagi mewujudkan kerangka perundangan yang lebih menyeluruh untuk sektor pendidikan tinggi negara.
Sebagai langkah awal, sebuah Jawatankuasa Bebas akan ditubuhkan untuk menjalankan kajian dan mengemukakan syor mengenai bentuk undang-undang baharu berkenaan.
KPT turut akan mengadakan libat urus menyeluruh dengan pemegang taruh sebelum kerangka dasar dan perundangan dimuktamadkan sebagai asas kepada Rang Undang-Undang baharu.
Pada masa sama, kerajaan akan menyediakan mekanisme peralihan bagi memastikan pemansuhan AUKU tidak menyebabkan kelompangan undang-undang atau mengganggu tadbir urus serta operasi institusi pendidikan tinggi.
Menurut KPT, undang-undang baharu itu antara lain disasarkan untuk membuka ruang lebih luas kepada autonomi dan inovasi institusi pendidikan tinggi, selain memperkukuh perlindungan terhadap kepentingan warga pendidikan tinggi.












