KUALA LUMPUR — Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menyifatkan hubungan Washington dan Kuala Lumpur sebagai perkongsian kukuh yang dibina sejak hampir tujuh dekad lalu, sambil menyatakan hasrat untuk terus memperdalam hubungan kedua-dua negara.
Dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-69 kemerdekaan Malaysia, Rubio berkata hubungan itu berakar daripada ikatan ekonomi yang kukuh, hubungan antara rakyat serta komitmen bersama terhadap kebebasan pelayaran di rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.
Beliau turut menekankan kedudukan AS sebagai antara pelabur utama Malaysia selain menjadi rakan dagang penting negara.
“Amerika Syarikat berharap dapat memperdalam hubungan ini pada tahun-tahun mendatang,” katanya dalam perutusan yang dikongsikan Kedutaan AS di Kuala Lumpur.
Rubio turut menyampaikan ucapan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Bagi pihak Amerika Syarikat, saya menyampaikan ucapan tahniah kepada rakyat Malaysia sempena ulang tahun ke-69 kemerdekaan Malaysia,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Malaysia terus menikmati keamanan dan kemakmuran.











