KEADILAN perlu mula memikirkan soal pelapis kepimpinan parti dan negara selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Menurut beliau, persoalan mengenai masa depan kepimpinan tidak seharusnya dianggap sensitif atau dielakkan, sebaliknya perlu dibincangkan jika KEADILAN mahu berkembang sebagai sebuah parti yang lebih besar daripada mana-mana individu.
“Pada awal perjuangan dulu, antara persoalan terbesar kita adalah bagaimana kita mahu membawa Anwar Ibrahim ke Putrajaya. Hari ini, Anwar Ibrahim sudah pun berada di Putrajaya.
“Maka, sebagai sebuah parti yang matang, izinkan saya melontarkan satu persoalan yang mungkin agak sensitif. Who’s next after Anwar?” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional KEADILAN.
Dr Zaliha berkata persoalan tersebut tidak bermaksud parti perlu mencari satu nama tertentu untuk menggantikan Anwar, sebaliknya KEADILAN perlu mula membina satu generasi baharu pemimpin.
Katanya, parti perlu mengenal pasti individu berpotensi, memberi mereka latihan, pendedahan serta tanggungjawab dan membuka ruang kepada bakat baharu daripada cabang, Wanita, Angkatan Muda KEADILAN (AMK), golongan profesional, aktivis masyarakat dan anggota biasa.
“Apabila saya bertanya, Who’s next after Anwar?, saya sebenarnya tidak mencari satu nama. Saya mahu kita membina satu generasi.
“Generasi pemimpin yang faham perjuangan Reformasi. Yang bersih, kompeten dan berani. Yang memahami ekonomi dan keresahan rakyat. Dan paling penting, yang bersedia memimpin Malaysia,” katanya.
Menurut Dr Zaliha, usaha membina pelapis juga selari dengan prinsip bahawa institusi politik tidak boleh terlalu bergantung kepada seorang atau dua individu.
Beliau turut menghormati keputusan Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar untuk mengambil cuti sementara daripada tugasnya selepas kongres dan meminta semua pihak memberi ruang kepadanya tanpa membuat spekulasi.
Katanya, perkembangan itu perlu dilihat sebagai peringatan bahawa sesebuah institusi mesti mampu terus berfungsi dalam apa juga keadaan.
“Pemimpin ada tempohnya, tetapi perjuangan tidak bertempoh,” katanya sambil mempersoalkan sama ada generasi kepimpinan hari ini mahu meninggalkan sebuah parti yang bergantung kepada nama besar atau sebuah institusi yang kukuh dengan akar umbi dan pelapis yang bersedia.
Dalam ucapannya, Dr Zaliha turut menegaskan bahawa kesetiaan anggota harus diberikan kepada parti dan perjuangan, bukan kepada mana-mana individu termasuk Presiden.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak bermaksud anggota tidak perlu mempertahankan Anwar apabila beliau difitnah atau tidak mahu melihat Kerajaan pimpinannya berjaya.
Sebaliknya, rasa sayang kepada Presiden dan parti perlu diterjemahkan melalui keberanian untuk memberikan pandangan, teguran dan kritikan secara beradab serta berasaskan fakta.
“Saya yakin Presiden juga tak mahu dikelilingi manusia yang kerjanya hanya berkata ‘Yes, Datuk Seri. Yes, Datuk Seri’,” katanya.
Pada masa sama, Dr Zaliha mengingatkan bahawa perbezaan pandangan tidak boleh dijadikan alasan untuk merosakkan organisasi atau mewujudkan “parti dalam parti”.
“Teguran atau kritikan itu bukanlah satu pengkhianatan. Tetapi sabotaj juga bukan satu perjuangan!” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kuasa, Putrajaya serta kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bukan hak milik mana-mana individu atau parti kerana mandat tersebut diberikan oleh rakyat dan boleh ditarik semula.
“Jadi jangan sombong. Jangan selesa. Jangan biarkan ego dan politik kelompok melemahkan rumah yang kita bina bersama,” katanya.




