PUTRAJAYA — Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari mengambil tanggungjawab terhadap kelemahan komunikasi yang mencetuskan polemik mengenai masa depan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam misi ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Taufiq mengakui terdapat kelompangan dalam komunikasi antara pihak terlibat sehingga menimbulkan kekeliruan berhubung perancangan Azizulhasni menuju temasya berkenaan.
“Jika ada kesilapan dari segi komunikasi, kita mengambil tanggungjawab tersebut dan ingin memastikan perkara sebegini tidak berulang.
“Komunikasi yang baik antara MSN, atlet dan persatuan amat penting supaya tidak timbul sebarang polemik atau kekeliruan dalam masyarakat,” katanya pada sidang media selepas taklimat Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan proses kelayakan LA28 di Menara KBS, hari ini.
Menurut Taufiq, keputusan untuk memberi laluan kepada Azizulhasni meneruskan misi memburu kelayakan LA28 sebenarnya sudah dipersetujui dalam mesyuarat Lembaga MSN pada 13 Ogos lalu selepas beliau mengarahkan perkara itu dinilai.
Bagaimanapun, surat tawaran rasmi kepada pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu hanya dikeluarkan MSN pada 30 Ogos sebelum maklum balas Azizulhasni diterima sehari kemudian.
Azizulhasni kemudiannya bersetuju menerima tawaran berkenaan dan akan meneruskan persiapannya bersama skuad kebangsaan dalam usaha memburu kelayakan ke LA28.
“Perkara ini telah selesai. Sekarang isunya, untuk bergerak ke hadapan, apakah langkah seterusnya yang perlu kita ambil? Itu yang kita perlu optimistik dan fikir ke hadapan,” kata Taufiq.
Beliau berkata perbincangan seterusnya akan melibatkan Azizulhasni, persatuan berbasikal, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi menentukan bentuk bantuan serta sokongan yang diperlukan dalam persiapannya menuju LA28.
Taufiq turut merancang mengadakan beberapa siri pertemuan dan sesi bersama atlet bagi memastikan sebarang isu dapat dikenal pasti serta diselesaikan lebih awal.
Polemik mengenai masa depan Azizulhasni tercetus selepas pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu mengeluarkan kenyataan panjang pada Jumaat lalu, antaranya meminta kepastian daripada KBS dan MSN sama ada khidmatnya masih diperlukan bagi misi LA28.
MSN kemudiannya menegaskan pihaknya tidak pernah mengetepikan perancangan Azizulhasni dan kekal menyokong persiapan bekas juara dunia itu.
Azizulhasni selepas itu mengesahkan menerima tawaran untuk meneruskan misi LA28 dengan Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI di Shanghai pada Oktober antara pentas penting dalam kempen tersebut.











