MANILA — Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menggesa rakyat negara itu meneruskan legasi perjuangan wira terdahulu dengan memainkan peranan dalam membina negara serta mempertahankan semangat patriotisme.
Sempena sambutan Hari Pahlawan Nasional, hari ini, Marcos berkata pengorbanan mereka yang berjuang mendapatkan kebebasan dan mempertahankan maruah Filipina perlu dihargai melalui tindakan generasi hari ini.
“Nenek moyang kita memenangi kebebasan, mempertahankan maruah dan meletakkan asas kepada republik yang kita hargai.
“Kita menghormati mereka dengan mencontohi keberanian itu, memastikan semangat patriotisme terus menyala dan menjadi rakyat yang diperlukan oleh negara,” katanya dalam perutusan sempena sambutan berkenaan.
Marcos berkata semangat kepahlawanan tidak hanya terdapat pada tokoh yang tercatat dalam sejarah, sebaliknya terus hidup dalam kalangan rakyat yang berkhidmat dan berkorban untuk masyarakat.
Beliau antaranya menyebut anggota tentera dan pasukan kecemasan yang mempertaruhkan nyawa, selain guru, petugas kesihatan, petani, nelayan serta rakyat Filipina yang bekerja di luar negara.
Menurutnya, sifat itu turut dapat dilihat dalam kehidupan seharian apabila rakyat membantu jiran, melindungi golongan yang memerlukan serta menjalankan tanggungjawab dengan jujur demi kepentingan bersama.
Marcos turut menyeru rakyat Filipina memastikan kebebasan yang diwarisi daripada generasi terdahulu terus dipertahankan dengan membina sebuah negara yang boleh dibanggakan generasi akan datang.
“Biarlah Bagong Pilipinas yang sedang kita bina terus menghargai wira masa lalu, masa kini dan masa hadapan,” katanya.
Hari Pahlawan Nasional disambut pada Isnin terakhir setiap Ogos bagi memperingati tokoh serta rakyat Filipina yang berjuang untuk kebebasan negara itu.
Marcos dijadual mengetuai upacara sambutan berkenaan di Libingan ng mga Bayani, Taguig City.













