KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mencari jalan untuk menyelesaikan sekatan eksport udang Malaysia ke Thailand yang berlarutan sejak 2017.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataan berkata, isu itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Keterjaminan Makanan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Mesyuarat itu turut meneliti sekatan import udang Thailand ke Malaysia yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu.Turut diberi perhatian ialah pemeriksaan ketat terhadap eksport ikan siakap Malaysia ke Thailand serta permohonan akses pasaran bagi produk ternakan negara yang masih tertunggak sejak 2024.
Mesyuarat berkenaan disertai wakil pelbagai kementerian dan agensi bagi menetapkan hala tuju keterjaminan makanan negara yang lebih menyeluruh serta mengesyorkan strategi berimpak tinggi untuk menangani isu sektor agromakanan.
Antara perkara lain yang dibincangkan ialah kebolehlaksanaan penghasilan sumber protein alternatif di Malaysia dan inisiatif memperkukuh daya saing industri pertanian tempatan.
Kerajaan turut meneliti strategi memperkasa perkhidmatan dan operasi landasan peluncur kapal Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.
Dalam pada itu, ancaman fenomena El Nino dan perubahan iklim terhadap pengeluaran makanan tempatan turut menjadi perhatian susulan risiko kemarau berpanjangan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah menyediakan pelbagai strategi pencegahan, penyesuaian dan perlindungan bagi membantu pengusaha sektor pertanian menghadapi cabaran berkenaan.
Kerjasama strategik antara semua pihak turut ditekankan bagi menjamin kemampanan sistem makanan negara dan memastikan Malaysia kekal berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.




