JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat untuk menghentikan sikap perkauman yang melampau serta politik kebencian, sebaliknya mengutamakan semangat perpaduan dan saling menghormati sebagai rakyat Malaysia.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata kerajaan pimpinannya melaksanakan dasar yang adil kepada semua kaum tanpa mengabaikan kepentingan mana-mana masyarakat.
“Saya mahu semua rakyat hentikan sikap perkauman yang melampau. Kenapa kita tidak boleh berunding sebagai sahabat, sebagai adik-beradik?
“Kenapa kita tidak boleh berunding dan bekerjasama sebagai rakyat Malaysia? Mengapa kita perlu tunjuk begitu banyak kebencian?” katanya ketika berucap pada program “Yok! Merahkan Johor! Undi Harapan” di Padang Awam Taman Pelangi Indah, di sini malam tadi.
Perdana Menteri turut menolak dakwaan kononnya Kerajaan MADANI hanya memberi keutamaan kepada masyarakat Cina, sambil menjelaskan setiap dasar yang diperkenalkan mengambil kira kepentingan negara secara keseluruhan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menolak dakwaan bahawa bantuan kerajaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bersifat perkauman, sambil menegaskan sektor berkenaan merupakan tunjang utama ekonomi negara.
“Bila PMKS kita tolong, ada yang kata sebab Cina sahaja tetapi PMKS ini menyumbang kepada ekonomi negara dan majoriti yang bekerja di syarikat PMKS ini orang Melayu. Kalau orang Melayu ada masalah, perlukan pertolongan, kita akan bantu sebab itu agenda bumiputera kita teruskan,” katanya.
Mengenai masyarakat India pula, beliau mengakui masih banyak ruang penambahbaikan yang perlu dilaksanakan bagi memperkasakan peluang serta taraf hidup komuniti berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Anwar mempertahankan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh pelepasan cukai bagi Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Beliau berkata langkah itu merupakan inisiatif pendidikan berimpak tinggi demi pembangunan modal insan negara dan tidak seharusnya dicemari dengan sentimen perkauman atau kepentingan politik sempit.
“Saya bersedia ke TAR UMT walaupun ia merupakan inisiatif masyarakat Cina. Mengapa? Kerana saya menyokong usaha memperkasakan pendidikan untuk rakyat Malaysia. Saya tidak ada apologis tentang perkara itu,” katanya.
Anwar turut mengingatkan supaya isu berkaitan pendidikan tidak dipolitikkan sehingga menimbulkan persepsi bahawa kerajaan membezakan layanan terhadap mana-mana kaum. – BERNAMA























